Mulakan dengan.....

Mulakan dengan.....

Wednesday, 28 November 2012

Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara: Skuad Hoki Negara Diambang Kejayaan


 



KEJAYAAN mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara, di Quilmes, Argentina seharusnya mendapat pujian, namun skuad bimbingan Paul Revington tetap perlu berhati-hati ketika bertemu Afrika Selatan di suku akhir ini, kerana semua lapan pasukan bertanding masih berpeluang muncul juara.
Berdasarkan analisis di peringkat kumpulan, Malaysia menjaringkan empat gol dalam setiap perlawanan sekali gus menjadikan jentera serangan skuad negara yang paling tajam di kejohanan kali ini dengan 12 gol berbanding Argentina, juara Kumpulan B yang membolosi gawang lawan 10 kali.




Di atas kertas, skuad negara di ranking ke-13 dunia menjadi pasukan ranking keempat tinggi dalam kejohanan, di belakang Korea (7), Argentina (10) dan Afrika Selatan (12).
Justeru pertemuan menentang Afrika Selatan, tetap dianggap rumit dengan kemenangan akan membolehkan pasukan negara melangkah ke separuh askhir menentang sama Korea Selatan atau Jepun.

“Apa yang penting sekarang adalah memastikan mentaliti kemenangan berterusan. Saya mahu pemain meletakkan keyakinan tinggi terhadap kebolehan masing-masing,” kata jurulatih negara, Revington.

“Kami ada peluang baik ke separuh akhir dan pemain sedar betapa pentingnya perlawanan esok (hari ini). Saya yakin dengan kebolehan mereka. Ini adalah satu proses jangka panjang untuk mencapai sasaran kerana ini baru kejohanan pertama saya bersama pasukan.” Format pertandingan menunjukkan betapa saingan peringkat kumpulan tidak penting, namun jika skuad kebangsaan berjaya menundukkan Afrika Selatan, itu akan menjadi bukti kebangkitan hoki Malaysia ke persada antarabangsa.
Kali terakhir Malaysia beraksi di Cabaran Juara-Juara pada 2003 di Randburg, Afrika Selatan dengan Revington ketika itu menjadi jurulatih Afrika Selatan.

“Pasukan ini mesti kekal berada di landasan proses pembentukan keyakinan dalaman yang lurus, inilah resipi terbaik untuk berdepan peringkat kalah mati,” kata Revington.
Jurulatih itu menggilirkan penjaga gol dengan memberi peluang buat S Kumar dan Roslan Jamaluddin satu perlawanan seorang.

Malah beliau juga melakukan pertukaran hampir semua pemain dalam tempoh tujuh hingga 10 minit permainan terakhir, bertujuan menyuntik kesegaran pemain setiap kali berada di atas gelanggang.

Skuad kebangsaan diletakkan sasaran untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas, namun Revington mahu menerima lebih cabaran dengan mensasarkan pentas final sebagai pentas terbaik.

Sementara itu, lawan hari ini, Afrika Selatan, amat mengenali corak permainan Malaysia yang cukup pantas.

“Malaysia sebuah pasukan yang cukup pantas dan kami akan pastikan memberi cabaran sengit kepada mereka,” kata jurulatih Afrika Selatan, Gregg Clark.

sumber :metro

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...