Mulakan dengan.....

Mulakan dengan.....

Monday, 31 December 2012

Penemuan Kapal Terbang Dakota di Gua Musang

Sepucuk surat yang dikirim oleh waris Geoffrey Clarence Carpenter kepada Kolonel Mohd. Tajri telah membongkar misteri pesawat DC-3 Dakota yang terhempas dan bersemadi di tengah-tengah hutan tebal, di Gua Musang, Kelantan, enam dekad lalu.







PENERBANGAN pada 25 Ogos 1950 itu sama seperti misi serupa yang pernah dilaksanakan sebelumnya oleh krew pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) Tentera Udara Diraja Britain (RAF).
Sejak beberapa minggu lalu, hutan tebal Gua Musang menjadi lokasi utama krew Nombor 52 Skuadron RAF ini. Mereka ditugaskan mengesan kedudukan gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang kuat bertapak di situ.
Melalui kokpit hadapan, juruterbangnya, Leftenan Udara Edward Robert Talbot, RAF melihat paparan meter serta paras ketinggian pesawat yang dibantu jurumalim, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter.
Seorang lagi krew pesawat Dakota KN630 ini ialah jurusemboyan, Sarjan Udara Thomas O'Toole, RAF.


ANGGOTA tentera menggali tanah untuk mencari tulang mangsa nahas pesawat.



Turut serta dalam penerbangan hari itu ialah pegawai Loyal Regiment, Mejar JH Proctor yang ditumpangkan bersama Batalion Kedua Askar Melayu, selain empat anggota Royal Air Service Corp (juga tentera British) yang mengendalikan kargo pesawat, seorang pegawai kerajaan Kelantan berbangsa Inggeris dan tiga rakyat tempatan.
Misi Dakota KN630 hari itu ialah untuk menggugurkan smoke marker.
Ia bagi membantu operasi pengeboman ke atas lokasi komunis yang dikenal pasti oleh lapan pesawat pengebom Lincoln Bombers yang terbang tidak jauh dari situ.
Malangnya, pesawat ini terputus hubungan dengan menara kawalan. Ia dipercayai terhempas di Mukim Galas di tengah-tengah hutan tebal Gua Musang.
RAHANG tulang gigi.


Tinjauan udara oleh pesawat RAF kemudian mengenal pasti lokasi pesawat terhempas sebelum mengerahkan sepasukan anggota tentera ke kawasan tersebut.
Namun, mereka hanya berjaya mengesan lokasi nahas sembilan hari kemudian. Atas faktor keselamatan dan kesukaran membawa mangsa keluar, kesemua yang terkorban dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran bangkai pesawat terhempas.
Itu cerita 58 tahun dulu. Tetapi, bagi waris salah seorang krew pesawat ini, Dennis Carpenter, 78, berita kehilangan abangya, Sarjan (Udara) Geoffrey Clarence Carpenter masih misteri. Biarpun keluarganya diberitahu keluarga mereka terkorban, tetapi nalurinya tetap ingin tahu di mana lokasi sebenar jasad abangnya disemadikan.
Setelah beberapa kali berusaha, akhirnya sepucuk surat beliau yang dialamatkan kepada Atase Pertahanan Malaysia di Britain, Kolonel Mohd. Tajri Alwi dibalas.


SARJAN Ramli Abdullah mengetuai bacaan doa sebelum memulakan penyelidikan ke atas pesawat British Royal Air Force.



Walaupun jawapan yang diterima ringkas, tetapi kesediaan Mohd. Tajri membantu mengesan kedudukan pesawat malang tersebut terhempas cukup menggembirakan beliau.
Dennis kini menetap di Croyden dekat selatan London. Dalam suratnya, Carpenter turut menyertakan koordinat dan lokasi pesawat itu dipercayai terhempas.
Semuanya berdasarkan maklumat yang diperolehnya daripada RAF dan penyelidik perang di sana.
Mohd. Tajri kemudian memanjangkan perkara tersebut kepada Kementerian Pertahanan (Kementah) sebelum mengarahkan Markas Briged Ke-8 Infantri Kem Pengkalan Chepa melakukan pencarian tersebut.
Bagaimanapun, kedudukan hutan tebal Gua Musang menyukarkan kerja-kerja untuk menjejaki kedudukan pesawat tersebut.


APTEN Zuraiman Abd Ghani membawa bekas berisi cebisan tulang penumpang pesawat Tentera Udara Diraja British.



Berpandukan maklumat yang terhad itu, anggota Briged Ke-8 melakukan tiga misi.
Mereka berjaya menemui lokasi sebenar bangkai pesawat pengangkut yang berjaya kira-kira tiga kilometer dari Kampung Penchong. Untuk ke sana, ia mengambil masa lima jam perjalanan dari bandar Gua Musang.
Menurut Panglimanya, Brigedier Jeneral Azizan Md. Delin, pencarian pertama dilakukan pada bulan Jun lalu, tetapi gagal.
"Atase Pertahanan Malaysia di Britain melalui Markas Tentera Darat (Mk TD) meminta briged ini membantu mendapatkan fakta tepat mengenai lokasi dan tanah perkuburan krew pesawat itu. Mereka menjumpainya pada 19 Jun.
"Pasukan pencari seramai 15 anggota diketuai Kapten Muhamad Isa Hassan itu dibantu dua jurupandu Orang Asli tempatan dan dua anggota Kor Risik menggunakan tiga kenderaan pacuan empat roda.
KASUT antara barang yang ditemui.


"Bagaimanapun, lokasi kemalangan yang terletak jauh di tengah-tengah belantara Mukim Galas yang sukar dilalui dengan kenderaan, selain terdedah kepada ancaman binatang buas menyukarkan usaha tersebut," ujarnya.
Menurut Azizan, pasukan pencari terpaksa berjalan kaki kira-kira dua jam untuk sampai ke satu kawasan kaki bukit. Ia berdekatan sebatang anak sungai di mana pesawat Douglas DC-3 Dakota itu dipercayai terhempas.
Hasil penemuan tersebut, Panglima TD, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin telah mengutus surat kepada rakan sejawatnya di Britain, Jeneral Sir Richard Dannat. Beliau menyatakan kesediaan dan komitmen untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan British.
Dua tinjauan susulan telah dilakukan Muzium TD iaitu pada 15 hingga 19 September dengan diiringi oleh wakil Markas 8 Briged, manakala tinjauan kedua pada 15 hingga 19 Oktober disertai pihak Polis Diraja Malaysia dari Bukit Aman dan Muzium PDRM.
Semasa tinjauan kedua, pihak Muzium TD telah melaksanakan kerja-kerja 'pengesanan tapak' menggunakan peralatan electromagnetic surveyer.





Ia bertujuan mengesahkan kewujudan rangka manusia di kawasan yang dikenal pasti. Namun berkemungkinan disebabkan faktor tulang yang telah rapuh dan terurai, kesan tindak balas magnetik amat lemah.
Hasilnya, Markas TD kemudian memutuskan agar misi evakuasi bangkai pesawat Douglas DC-3 Dakota (KN630) RAF ini dilaksanakan sepenuhnya. Diberi nama Ekspedisi Garis Waktu KN 630, ia diketuai oleh pihak Muzium TD. Tujuannya untuk membawa keluar rangka manusia dan beberapa peralatan penting pesawat dari lokasi nahas.
Ekspedisi ini juga mendapat kerjasama dan gabungan kepakaran pelbagai unit-unit TD, khasnya Markas 8 Briged, polis, wakil kerajaan Britain dan pakar-pakar forensik Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian. Turut serta dalam misi yang bermula 2 hingga 12 November itu ialah kakitangan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Jabatan Perhutanan serta penyelidik daripada Kumpulan Sejarah Malaysia (MHG).


Penggalian dua kawasan busut yang dipercayai krew pesawat malang itu ditanam berjaya menemui beberapa tinggalan tulang-temulang manusia.
Ini termasuklah cebisan pakaian seragam dan kasut.
Proses evakuasi berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pada 12 November, rangka kru pesawat malang Dakota (KN630) RAF berjaya dibawa keluar setelah 58 tahun bersemadi di hutan Gua Musang.
Setelah melalui perjalanan selama 10 jam, kesemua rangka seperti cebisan tengkorak dan tulang yang diisi di dalam 12 bungkusan plastik kecil tiba di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada pukul 9.30 malam bagi proses ujian DNA.
Pasukan evakuasi Markas Tentera Darat (TD) yang diketuai Muzium TD itu terpaksa memilih jalan darat setelah helikopter Nuri tidak dapat mendarat di kawasan tersebut kerana faktor cuaca. Penyerahan kesemua rangka yang siap bertanda yang diisi di dalam kotak plastik kepada HUSM oleh Pengarah Muzium TD, Lt Kol Norhayati Mansor kepada Timbalan Pengarah HUSM, Dr. Mohd. Rosdi Abd. Rahman.
Menurut Mohd. Rosdi, dengan sampel yang ada, pihaknya dijangka memulakan ujian tersebut pada bila-bila masa sebelum memaklumkan hasilnya kepada pihak Muzium TD untuk tindakan seterusnya.
"Proses ujian DNA yang diketuai oleh Ketua Pasukan Forensik HUSM, Dr. Zafarina Zainuddin dijangka mengambil masa sebulan bagi mengenal pasti identiti krew pesawat Dakota RAF itu.
"Sejak 3 November lalu, beliau turut sama dengan pihak Tentera Darat dalam Ekspedisi Garis Waktu pesawat Dakota ini di Gua Musang," jelasnya.
Sementara itu, kenyataan daripada Markas TD memberitahu, kejayaan misi ini akan disusuli dengan beberapa pencarian serupa bertujuan untuk mendokumentasikan peristiwa bersejarah berkaitan ketenteraan tanah air.
"Bermula dengan pencarian pesawat pengebom B-24 Liberator di sempadan Malaysia - Thailand pada Julai 2008, misi pesawat Dakota KN630 ini merupakan misi ketiga Ekspedisi Garis Waktu.
"Pihak kita merekodkan 30 pesawat tentera yang dikenal pasti terhempas di Tanah Melayu sejak 1945 hingga 1951, antaranya lapan jenis Dakota termasuk sebuah terhempas di Serendah, Selangor," ujarnya.

sumber :kosmo

No comments :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...